KUALA LUMPUR: Pengagihan kadar hibah Lembaga Tabung Haji (TH) kepada pendeposit yang naik kepada 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019 berbanding hanya 1.25 peratus pada tahun sebelumnya menjadi satu petunjuk baik kerana mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, keadaan itu menunjukkan berlaku proses pemulihan TH dan jika keadaan itu berterusan kadar hibah atau bonus pada masa akan datang dijangka terus meningkat.

“Cuma jika dibandingkan kadar hibah yang diumumkan sebelum 2018, diakui agak rendah kerana berlaku proses pemulihan.

“Bagaimanapun secara keseluruhan kita patut menerima kadar agihan ini sebagai satu angka yang munasabah dan sama-sama kita mendoakan negara dapat mengatasi wabak Covid-19 supaya kadar dividen yang lebih tinggi tahun depan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

TH semalam mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat yang lebih tinggi iaitu sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding 1.25 peratus pada tahun sebelumnya.