KUCHING: DAP Sarawak menggesa Petronas supaya membayar cukai hasil jualan minyak dan gas kepada kerajaan Sarawak susulan keputusan mahkamah tinggi di sini semalam yang tidak memihak kepadanya.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, adalah perlu bagi Petronas berbuat demikian dan menggesa agar syarikat minyak itu tidak melengah-lengahkannya dengan membuat rayuan di mahkamah rayuan.

Beliau memuji keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi menolak cabaran yang dilakukan oleh Petronas terhadap langkah kerajaan Sarawak mengenakan cukai berkenaan.

“DAP Sarawak ucapkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak atas kemenangannya,” kata Chong.

“Sudah pasti keputusan itu dialu-alukan semua rakyat Sarawak. Kita sukacita mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kepada Sarawak dan kita harap Petronas akan membayar Cukai Jualan itu secepat mungkin,” kata Chong lagi dalam satu kenyataan.

Permohonan semakan semula kehakiman oleh Petronas berhubung pelaksanaan SST ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas mendengar penghujahan  kedua-dua belah pihak dalam kes ini.

Pasukan perundangan negeri diketuai Peguam Negeri Datuk Sri JC Fong dan Peguam Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid manakala Petronas diwakili peguamnya, Datuk Malik Imtiaz Sarawak dan Alvin Yong.