Friday, August 19, 2022

Kembalikan hak Sarawak yang dibatalkan PH

Secara Rawak

BETONG: Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi menyifatkan konsep perkongsian dana 50:50 bagi membina Jambatan Batang Lupar merupakan tanggungjawab serta hak Kerajaan Persekutuan terhadap Sarawak khususnya demi kemudahan rakyat luar bandar.

Beliau tidak menolak Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan ke arah itu bagi mendapatkan semula apa-apa yang ditarik balik oleh Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui negara.

Katanya, pertukaran Kerajaan Persekutuan baharu ketika ini akan memberi cahaya yang lebih bagus untuk Sarawak. “Dulu Jambatan Batang Lupar dipersetujui agar dibiayai secara perkongsian antara Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional) dan Kerajaan Sarawak dengan konsep 50:50.

“Namun disebabkan pertukaran kerajaan pada Mei 2018 selepas PH mengambil alih, mereka membatalkannya. “Justeru, dengan adanya Kerajaan Persekutuan yang dibentuk oleh Perikatan Nasional+Gabungan Parti Sarawak (PN +GPS), lebih-lebih lagi adanya menteri kanan dan Menteri Kerja Raya dilantik dalam kalangan anak Sarawak iaitu Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, sudah tentu kita ada perancangan.

“Kami mahu berjimat sebanyak mungkin… kita pun nak hak kita dalam mendapatkan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan. “Saya berasakan itu salah satu daripada hak kita yang perlu dikembalikan,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sebuyau berkata demikian kepada media selepas melawat tapak pembinaan Jambatan Batang Krian dekat sini, semalam. Jelasnya, pembinaan jambatan tersebut diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Kelulusan itu untuk kemudahan rakyat kawasan luar bandar dan secara kebetulan untuk kawasan pesisir. Maka ia amat diharapkan oleh rakyat,” ujarnya. Julaihi memberitahu, Jambatan Batang Lupar sepanjang 5.1 kilometer akan ditender tidak lama lagi dan kini di peringkat akhir penyediaan reka bentuk sebagai jambatan terpanjang.

Bagaimanapun tambahnya, jalan menuju ke tapak di keduadua belah jambatan sudah bermula. Secara keseluruhan menurutnya, Bahagian Betong dalam tempoh lima tahun akan datang bakal memiliki tiga jambatan baharu selain Jambatan Batang Lupar.

“Dua daripadanya kini sudah memulakan kerja di tapak lapangan iaitu Jambatan Batang Saribas (RM375 juta) dan Jambatan Batang Krian (RM75 juta). “Jambatan Batang Krian sepanjang 690 meter dijangka siap dalam tempoh 36 bulan. Status kerja kini menjangkau lapan peratus.

“Manakala Jambatan Batang Saribas dijangka memakan masa 48 bulan dan kini aktiviti pembersihan tapak sedang giat dilaksanakan. “Sementara satu lagi ialah Jambatan Muara Batang Saribas (di sebelah hulu Kampung Spinang) yang dibina khusus untuk Jalan Utama Kedua.

“Dana sudah diluluskan dan projek akan ditender tahun ini juga,” jelasnya. Ketua Menteri dijangka menyempurnakan pecah tanah pembinaan Jambatan Batang Krian pada 4 April depan. Hadir sama Adun Kabong Mohd. Chee Kadir dan Adun Saribas Mohammad Razi Sitam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru