Tuesday, August 16, 2022

Penyelesaian isu Perjanjian Malaysia akan disegerakan

Secara Rawak

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata   isu berkaitan Perjanjian Malaysia tidak akan ditangguhkan.,

“Kami mahu ia diselesaikan segera. Perkara itu tak boleh ditangguhkan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran seminar fatwa peringkat negeri Sarawak, hari ini.

Namun, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentangkan semula perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf dengan Semenanjung.

Untuk itu, menurut Ketua Menteri perbincangan  mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilangsungkan antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan PH sebelum ini akan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

“Saya difahamkan mereka akan meneruskannya. Menurut Menteri Kanan (Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof) mereka akan meneruskan perbincangan dan memuktamadkannya secepat mungkin. Jangan dilengah-lengahkan lagi,” katanya.

Katanya, menteri kanan akan meneruskan apa-apa saja yang dibincangkan oleh jawatankuasa khas kabinet untuk mengkaji semula pelaksanaan MA63.
Muhyiddin kelmarin dilaporkan berkata  akan mengadakan mesyuarat dengan parti dari Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu berkaitan MA63 dan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi membuktikan komitmen dan kesungguhannya, kerajaan Perikatan Nasional menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dengan melantik menteri dari Sabah dan timbalannya dari Sarawak.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan diadakan menerusi bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak) yang diterajui Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

“Kami akan memanggil mesyuarat untuk membincangkan MA63 dan juga pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memenuhi hajat dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian berkenaan.

“Kami akan melakukan ini dengan segera,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya di Putrajaya.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secepat mungkin bagi membincangkan tentang MA63.

Fadillah berkata beliau menyuarakan kepentingan MA63 kepada Muhyiddin pada mesyuarat Kabinet pertama semalam dan keperluan melihat kembali Perkara 1(2) dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

“Secara prinsip perdana menteri bersetuju untuk memberi keutamaan kepada MA63 dimasukkan ke dalam Perlembagaan dan hak-hak Sabah dan Sarawak akan diberikan balik kepada negeri-negeri ini seperti dipersetujui dahulu,” katanya  seperti dipetik media.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru