MUKAH: Baru-baru ini pihak KRT Mukah telah mengadakan taklimat anjuran bersama dengan JKKK Teh Labak. Taklimat yang julung kali diadakan di balairaya Teh Labak mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan daripada penduduk di sini.

Pihak KRT Mukah yang diketuai oleh Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah Lau Siew Yen, dibantu oleh Penolong Pegawai Perpaduan Johannes Miles Anak Duwau dan Muhammad Fuad Bin Jamakuddin tampil menerangkan sedikit sebanyak sejarah dan latarbelakang penubuhan KRT kepada penduduk di sini.

Menurut Lau Siew Yen, dengan penubuhan KRT Teh Labak Mukah, maka ini akan menjadikan bilangan yang ke-78 untuk bahagian Mukah khususnya.

Angka ini menunjukkan betapa penduduk di bahagian Mukah sedar akan kepentingan KRT dalam meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, keselamatan dan banyak lagi aspek positif lain demi kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau juga menyarankan agar KRT di Teh Labak ini sebagai platform untuk aktiviti-aktiviti yang sihat, dan membina agar segenap lapisan masyarakat di sini, terutamanya kepada generasi muda agar lebih banyak menyumbang tenaga dan seterusnya melahirkan generasi baru yang lebih mampan dan berdaya saing.

Di akhir taklimat, Ketua Kaum (KK) Daniel bin Raping memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan ini dan menyeru agar semua warga Teh Labak bersama-sama mendokong usahasama ini agar menjadikan kampung Teh Labak lebih dinamis, harmoni, di samping memupuk semangat kekitaan dalam meneraju ke arah kemajuan bersama.