KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi komited untuk membantu usahawan dan pemain industri tempatan dalam industri perniagaan, sekaligus melonjakkan ekonomi negara.

Menterinya, Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan mengguna pakai pengalaman dan ilmu sedia ada dan fasiliti kementerian yang sudah disediakan kerajaan untuk mencapai tujuan tersebut.

“Pagi tadi saya juga berbincang dengan Prof Datuk Dr Raduan Che Rose daripada Majlis Profesor Negara (MPN) untuk melihat lagi macam mana cara untuk kita bersaing di dalam persekitaran perniagaan dunia menggunakan fasiliti yang ada pada kita,” kata beliau.

Jelasnya, beliau akan berjumpa dengan pihak profesor dengan pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan yang berpengalaman untuk membantu  dalam pembangunan keusahawanan negara.

“Jadi mereka ini sudah berjaya selama ini, tetapi apa yang kita mahu tekankan ialah macam mana cara untuk menjadi lebih baik di bawah persekitaran baharu, itu yang kita mahu lihat,” ujar beliau lagi dalam satu sidang media di sini, pada Rabu.

Tambahnya, kerajaan boleh menggunakan industri perniagaan sebagai pemangkin kepada pembangunan negara.