KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata adalah menjadi tugas kerajaan untuk memastikan penurunan kos hidup rakyat dapat dikurangkan selaras dengan penurunan harga petrol.

Menurut beliau kesan kejatuhan harga minyak petrol bukan hanya menjejas pendapatan negara secara langsung, namun juga dua harga komoditi utama iaitu harga getah dan juga kelapa sawit.

“Harga getah dijangka turun kerana permintaan terhadap getah asli akan berkurang. Getah tiruan yang diperbuat daripada bahan petroleum akan jadi lebih murah. Harga sawit juga dijangka akan turun. Biodiesel daripada sawit sudah tidak diperlukan lagi yang menjadi satu punca permintaan kepada sawit,” katanya menerusi catatan di Facebook di sini.

Tambah beliau ketiga-tiga penurunan tersebut adalah tidak baik kepada rakyat termasuklah kepada negara dan tindakan proaktif kerajaan adalah sangat diperlukan.

Tambah beliau lagi jika ramalan ini tidak berlaku, maka eloklah dan diharapkan ianya tidak akan berlaku.

“Dan kita berdoa ianya tidak akan berlaku. Harga barang mesti diturunkan bila harga petrol turun sebab kos pengangkutan dan pengeluaran semakin rendah. Adakah ini berlaku? Sekali lagi adalah menjadi tugas kerajaan untuk memastikan penurunan kos hidup rakyat dapat dikurangkan selaras dengan penurunan harga petrol,” katanya lagi.