Friday, August 12, 2022

Harus lakukan transformasi pendidikan

Secara Rawak

BETONG: Transformasi pendidikan serta fokus terhadap pembangunan sekolah daif di Sarawak antara yang diharapkan oleh warga negeri ini ekoran pelantikan tokoh profesional Dr. Mohd Radzi Md Jidin sebagai Menteri Pendidikan.

Pengerusi Biro Pendidikan Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) Dr. Abang Ismail Abang Julhi berkata, Radzi pernah menjadi Profesor Madya di Universiti Monash, Australia.

“Beliau harus melakukan transformasi dalam sistem pendidikan negara ke arah sekolah berkualiti dan kemenjadian murid secara holistik. “Dalam pada itu memberi tumpuan kepada Sarawak dan Sabah untuk membangunkan sekolahsekolah daif,” katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, kepakaran beliau semasa berkhidmat di negara luar boleh digunakan sepenuhnya khususnya amalan terbaik di Australia mengikut kemampuan dan kesesuaian persekitaran.

Abang Ismail berpendapat, Radzi diharap melakukan penstrukturan organisasi dan bahagian-bahagian di KPM, seterusnya memberikan autonomi kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengelakkan birokrasi berpanjangan di peringkat kementerian mahupun jabatan pendidikan.

“Antara lain melestarikan bimbingan instruksional oleh rakan elit (seperti pensyarah IPG, IAB, SIP+ Dan SISC+) agar sistem sokongan dapat diperkasakan. “Sebagai pendidik, saya juga mengharapkan Razdi terus menjulang fungsi Institut Pendidikan Guru sebagai sebuah institusi pendidikan yang unggul di Malaysia,” ujarnya.

Radzi dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook semalam mengakui pelantikannya sebagai tanggungjawab yang amat berat terutamanya dalam usaha untuk memastikan kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya menyedari bahawa saudara-saudari meletakkan harapan tinggi agar sistem pendidikan negara dapat melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang dalam pelbagai aspek dan mampu bersaing di persada dunia.

“Saya menerima amanah ini dengan penuh keinsafan. “Berilah peluang dan ruang kepada saya untuk melakukan yang terbaik demi tanah air tercinta ini,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru