Thursday, June 30, 2022

Bina dermaga kargo baharu di Sarikei

Secara Rawak

SARIKEI: Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak bercadang untuk membina dermaga kargo baharu bagi meningkatkan keselamatan dan menampung keperluan domestik pengangkutan sungai daerah ini pada masa depan.

Menterinya Datuk Lee Kim Shin berkata, inisiatif itu diambil kerana kerajaan memandang serius tahap keselamatan kemudahan sedia ada supaya sentiasa pada tahap terbaik.

Katanya, langkah jangka panjang itu juga bermatlamat untuk memastikan pengguna sentiasa selesa dan selamat menggunakan kemudahan berkenaan. “Usaha ini merupakan salah satu keutamaan kita. Kita sedang mengkaji pelbagai aspek sampingan termasuk kos bagi tujuan pembinaannya.

“Dermaga kargo sedia ada kurang sesuai kerana terlalu hampir dengan pusat bandar. Lokasi baharunya sudah dikenal pasti,” katanya kepada media dalam lawatan kerja ke terminal penumpang dan fasiliti Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Bahagian Sarikei baru-baru ini.

Beliau berkata, LSS akan memantau serta memastikan fasiliti sedia ada selamat digunakan walaupun tidak ada data statistik menunjukkan berlaku kemalangan di tapak itu setakat ini.

Aspek keselamatan katanya, perlu dititikberatkan kerana pengangkutan sungai masih menjadi pilihan untuk mengangkut kargo seperti bahan binaan, keperluan domestik dan sebagainya.

Di sebahagian kampung dan rumah panjang ujarnya, pergerakan menggunakan pengangkutan sungai lebih cepat berbanding jalan raya. “Sebagai contoh, masa untuk pergi ke Tanjung Manis dari Sarikei menggunakan bot laju atau bot ekspres lebih cepat berbanding menggunakan kenderaan darat.

“Statistik pada 2019 menunjukkan, setiap hari purata antara 450 hingga 490 orang menggunakan pengangkutan sungai dari Sarikei ke pelbagai destinasi seperti Betanak, Stalun, Semop, Serdeng, Daro, Pulau Bruit, Paloh, Tanjung Manis, Kuching dan lain-lain.

“Jumlah pengguna ini akan bertambah pada musim perayaan dan dijangka kekal untuk beberapa tahun akan datang atas faktor keselesaan dan tempoh masa perjalanan yang singkat,” katanya.

Beliau juga menasihati pengusaha semua jenis perusahaan agar tidak membuang sisa buangan ke dalam sungai demi keselamatan pengguna yang melalui laluan itu. Selain itu katanya, pembuangan sampah atau sisa domestik ke dalam longkang yang mengalir terus ke sungai boleh mengakibatkan banjir kilat dan merosakkan ekosistem sungai.

“Kebersihan sungai bukan sahaja penting untuk pelayaran, minuman, rekreasi tetapi juga menjaga hidupan flora dan fauna yang menjadi punca rezeki nelayan sungai,” tegasnya.

Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan sumbangan jaket keselamatan dan alat pemadam api mudah alih kepada penguasa bot.

Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abd Wahab; Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii; Timbalan Residen Sarikei, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman; Pengarah Laut Wilayah Sarawak Mohd Marzuki Brahim; Pemangku Pengawal LSS Lt. Ding Tiew Wong dan Timbalan Pengawal LSS Wilayah II Hatta Morshidi turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru