KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional perlu mencari penyelesaian segera berkaitan isu yang menjadi keutamaan rakyat dalam tempoh 100 hari pertama menerajui negara.

Kabinet baharu dijangka mengangkat sumpah di Istana Negara esok.

Presiden UMNO  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini berkata,  beberapa isu seperti Tabung Haji, Felda, kos sara hidup dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) harus diselesaikan segera.

UMNO kembali berkuasa selepas menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional bersama-sama Bersatu yang diterajui Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kerajaan PH tumbang susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarnya Bersatu dari PH.

Turut menyokong perikatan itu ialah GPS, tetapi ia bertindak sebagai entiti berasingan.

“Dalam 100 hari pertama, Perikatan Nasional mesti memperlihatkan impak perubahan yang besar, rakyat mahu melihat perubahan segera,” tegasnya yang sebelum ini menyatakan tidak akan menyertai kabinet persekutuan yang bakal diumumkan Mahyuddin jam lima petang ini.

“Kita tidak tertakluk kepada manifesto Pakatan Harapan, jadi lebih mudah kita fokuskan terlebih dahulu isu-isu dan penyelesaian yang menjadi keutamaan rakyat dan Perikatan Nasional,” katanya.

“Rakyat mahu melihat Tabung Haji, Felda mesti dipulihkan segera. Nasib peneroka, generasi kedua Felda, petani, nelayan, penternak, peruncit dan peniaga kecil wajib diambil kepedulian segera,” katanya  lagi sambil menambah nasib pelajar di universiti awam dan IPTS mesti dibela terutama peminjam PTPTN.

PH dalam manifestonya berjanji untuk menanguhkan pembayaran bagi peminjam yang mempunyai pendapatan RM4,000 ke bawah tetapi ia gagal direalisasikan.