KONTINJEN Sarawak menyasarkan 50 pingat emas untuk Sukma 2020 yang akan berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai depan. Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sasaran tersebut adalah wajar.

“Dalam Sukma 2018 kita dapat 47 emas… cuma tambah lagi tiga untuk capai 50 emas. Jadi kita mahu 50 emas untuk Sukma 2020,” katanya. “Ia adalah wajar kerana Sarawak menyertai semua acara yang dipertandingkan. Jika dapat lebih daripada 50, maka ia adalah bonus,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Kontinjen Sarawak ke Sukma XX-Johor 2020 di Hotel UCSI baru-baru ini.

Menurutnya, saingan Sukma 2020 menjanjikan aksi sengit kerana semua negeri telah membuat persiapan rapi. “Tuan rumah, Johor menyasarkan 66 emas… jadi saya percaya persaingan lebih getir kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan persiapan atlet sedikit terganggu terutama melibatkan latihan di luar negara, kerana ia terpaksa dibatalkan ekoran Covid19. “Wushu antara sukan yang sepatutnya berlatih di China, namun terpaksa dibatalkan.

“Namun kita tidak perlu terlalu bimbang kerana negeri lain juga mengalami malasah yang sama,” jelas Abdul Karim. Bagaimanapun, kontinjen Sarawak sekarang ini masih dalam proses pemilihan akhir atlet.

Kali terakhir Sarawak menjuarai Sukma ialah pada 1994 dan pernah juara pada 1992 dan 1990. Selepas itu, Sarawak terus gagal meraih sebarang kejuaraan sehingga 2018.