BEIJING: Gara-gara Covid-19, orang ramai kini berasa takut untuk bersentuhan atau bersalaman antara satu sama lain.

Ekoran itu sekumpulan penduduk di China memperkenalkan cara baru menggantikan tradisi bersalam.

Video yang semakin tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan beberapa remaja bertopeng muka bersalam menggunakan kaki antara satu sama lain.

Video ini dimuat naik di Twitter dan di gelar sebagai “Salam Wuhan” tempat virus itu mula-mula merebak.

Secara kebetulan video ini muncul ketika orang ramai diberi amaran agar mengelak bersalaman, berpeluk atau mencium pipi satu sama lain bagi mengelak virus itu tersebar.

Orang ramai juga disarankan agar sentiasa mencuci tangan mereka menggunakan sabun.

Setakat ini bukan China sahaja yang meminta rakyatnya supaya mengelak bersentuhan antara satu sama lain, di Perancis, rakyat negara itu yang biasa menyambut satu sama lain dengan mencium pipi juga dinasihat untuk tidak berbuat demikian.

Selain bersalam dengan kaki, penduduk di tempat lain juga memperkenalkan salam dengan kaedah lain seperti salam menggunakan siku dan salam menggunakan pinggul.