KRISIS politik  berada di kemuncak pada akhir bulan lalu selepas kerajaan PH tumbang  susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan keluarnya Bersatu daripada PH.  

Kejatuhan PH,  justeru, ialah bikinannya sendiri dan ia tidak boleh menuding jari kepada pihak lain. Permainan politik yang salah memerangkap dirinya sendiri sehingga akhirnya kecundang.

Ketika kemelut politik itu berlaku, Malaysia tidak mempunyai jemaah menteri dan yang ada hanya Dr Mahathir  yang sudah mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu. 

Setelah berundur sebagai Perdana Menteri ketujuh, beliau dilantik pula sebagai Perdana Menteri interim.  Ketika itu negara perlukan seorang Perdana Menteri untuk menggantikan beliau. Ketika itulah permainan tarik tali dalam kalangan beberapa kumpulan berlaku.

Ketika itu seluruh negara berteka-teki dan sentiasa berdebar-debar siapa yang bakal menerajui negara dan menubuhkan kerajaan selepas PH tumbang.

Pada pagi 29 Februari, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghadiri majlis pelancaran GPS Zon Belaga dan Murum di Sungai Asap di Belaga.

Ini ialah saat genting dan semua pihak tahu bahawa GPS yang mempunyai 18 ahli parlimen bakal menjadi ‘king maker’ atau penentu untuk menyelamatkan keadaan. Jika tidak negara akan terus bergelora sehingga menjejaskan ekonomi negara sebagaimana terbukti daripada bursa saham yang merudum.

Abang Johari di majlis itu berkata,  sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh GPS  bagi membantu mengakhiri kemelut politik di peringkat pusat akan mengutamakan kepentingan negara dan hak-hak Sarawak.

Beliau berkata GPS akan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan krisis itu.

Ya, sikap berhatip-hati dan berwaspada amat perlu kerana segala perkiraan perlu dibuat agak tidak terperangkap dalam permainan politik pihak-pihak tertentu. Sebarang kesilapan dalam perhitungan pasti akan membawa padah bukan sahaja kepada GPS tetapi juga kepada rakyat Sarawak dan masa depan negeri.

Abang Johari menekankan GPS tidak akan menyokong kepemimpinan yang tidak tetap pendirian hingga boleh menyebabkan negara dalam keadaan kucar-kacir serta tidak boleh memberi keutamaan kepada Sarawak.

“Kalaulah (pihak yang mahu mengambil alih tampuk kepimpinan negara) nak minta kami menyokong (mereka), okay, kami akan menyokong (kerana) kami mahu selamatkan Malaysia,” katanya.

“Kalau orang lain minta tolong (mendapatkan sokongan GPS), kami akan kata ini bantuan daripada kami dengan syarat mereka tahu apa yang kami mahu. Kami akan tolong tetapi mestilah mereka menolong kami balik,” katanya.

Ini ialah detik yang penting yang bakal menentukan sama ada Muhyiddin atau  Dr Mahathir bakal menjadi Perdana Menteri. Semua pihak tahu apa yang dilakukan oleh PH di bawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 bulan. 

Ketika itulah DAP Sarawak yang sudah tersepit dan dalam keadaan  terdesak. Tanpa rasa malu, DAP menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan GPS bagi menyokong Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan beberapa orang daripada Bersatu yang menyertai Dr Mahathir.

DAP umpama peribahasa Melayu, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. DAP terhegeh-hegeh untuk menjalinkan kerjasama dan dengan mudah menyatakan lupakan sengekata silam dan apa yang telah pun berlaku sebelum ini tanpa menyedari betapa dalamnya luka yang ditanggung oleh GPS ekoran tindak-tanduk angkuh para pemimpinnya.

Rakyat tentu tidak akan mudah lupa bagaimana Menteri Kewangan PH ketika itu, Lim Gun Eng yang juga Setiausaha Agung DAP membuat satu kenyataan tidak berasas — bahawa Sarawak akan jatuh muflis dalam tempoh tiga tahun hanya untuk memperdaya rakyat Sarawak.

Rakyat tentu juga tidak akan lupa permainan Guan Eng dari segi usaha menyelesaikan sekolah daif. Bayar dahulu wang kepada kerajaan PH, kami akan selesaikan masalah itu, tetapi seluruh dunia tahu apa yang berlaku selepas RM700 juta dibayar oleh Sarawak.

Rakyat Sarawak tentu tidak akan lupa bagaimana Petronas di bawah kerajaan PH sengaja tidak mahu membayar cukai hasil minyak dan gas sebanyak lima peratus sedangkan syarikat minyak lain melunaskannya sehingga kerajaan Sarawak terpaksa mengheretnya ke mahkamah.

Rakyat tentu tidak akan lupa bagaimana PH yang didominasi oleh DAP membatalkan banyak projek pembangunan termasuk jalan raya dan jambatan di Sarawak. Dengan kuasa yang ada padanya, DAP bersekongkol dengan rakan sekutunya dalam PH untuk membalas dendam dengan menghukum rakyat Sarawak. 

DAP dan Chong hanya bijak bermain politik demi kepentingan dan survival politik mereka tanpa mempedulikan kepentingan dan masa depan rakyat.

Rakyat tentu tidak akan lupa bagaimana kerajaan PH sengaja memecah-belahkan rakyat Sarawak dengan cuba memperkenalkan MPKKP sedangkan di Sarawak sudah ada JKKK.

DAP, segalanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. 

Justeru, rayuan Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen yang kedengaran bagai meminta nyawa daripada GPS adalah csia-sia. Rayuan itu dibuat lebih kerana beliau  sedar akan kedudukan PH yang bagai telur di hujung tanduk. 

Chong sedar jika PH tidak lagi berkuasa, dia tidak lagi akan menjadi timbalan menteri. Juga, PH dan DAP tidak akan lagi dapat membuli rakyat Sarawak. DAP tidak akan lagi berada dalam kerajaan. Ia akan menjadi pembangkang. Chong juga akan menjadi pembangkang di peringkat negeri dan persekutuan.

Dalam keadaan demikianlah Chong berkata, DAP sedia mengetepikan sebarang perbezaan politik bagi tujuan bekerjasama dengan GPS kononnya untuk mengelak kelompok ekstremis daripada memperoleh kuasa, selain menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah kemusnahan.

“Negara kita kini di persimpangan. GPS perlu membuat keputusan dalam memilih antara terus bersama dengan pihak kleptokrat dan pelampau agama gabungan UMNO dan Pas, atau memelihara gabungan progresif PH,” katanya.

DAP melabelkan PAS sebagai ekstremis tanpa menyedari parti itu juga tidak kurang ekstremis. Tetapi disebabkan mahu menyifatkan DAP lebih baik daripada pAS, maka Chong tidak teragak-agak untuk menggunakan satu daripada label atau teknik dalam propaganda yang dikenal sebagai pelabelan atau ‘name calling’.

“Saya merayu kepada pemimpin-pemimpin GPS untuk mengetepikan semua perbezaan politik sebelum ini, dan bekerjasama dengan PH bagi menyelamatkan negara,” kata Chong, benar-benar menggambarkan keadaan orang yang terdesak.

Namun, Abang Johari Tun Openg menyatakan pendirian tegas untuk tidak bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP). 

Ketua Menteri  menegaskan, parti tersebut dilihat tidak berniat baik. 

Perkara tersebut menjadi punca keengganan GPS menjalinkan sebarang hubungan politik bersama DAP. Ini kerana tindakan DAP ke atas Sarawak sebelum ini meninggalkan kesan mendalam yang tidak dapat dilupakan parti beliau dan rakyat pada keseluruhannya.

“Saya tidak dapat bekerjasama dengan DAP, mana boleh lupa apa yang berlaku sebelum ini,” katanya. 

Beliau merujuk kepada kenyataan parti itu sebelum ini yang menganggap Sarawak akan bankrap dalam masa tiga tahun serta mengaitkan beberapa projek yang telah dibatalkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Beliau berkata demikian pada sesi Berambeh Ngan CM Abang Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong bersempena Karnival Today For Tomorrow (T4T) anjuran Sarawak Volunteers di Gedong pada Ahad.

“DAP Sarawak minta tolong dan minta perkara yang lepas dilupakan. Mana dapat dilupakan!,” tegas Abang Johari.

Ya, tidak mungkin bagi GPS  untuk menyokong dan bekerjasama dengan DAP yang untuk sekian lama mahu merosakkan GPS dan  dan merugikan rakyat negeri ini. 

DAP kini terpaksa menghisap jari dan merenung nasib yang menimpanya. Pengajaran daripada episod ini ialah apabila berkuasa gunakan kuasa dengan sebaik-baiknya dan bukannya untuk membalas dendam atau untuk tunjuk kuasa. DAP perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana berada dalam keadaan sekarang.