Saturday, October 8, 2022

Sistem pembetungan berpusat dalam skala besar

Secara Rawak

KUCHING: Sistem pembetungan berpusat di bandar ini bakal dirancang untuk digunakan dalam skala lebih besar melibatkan premis bangunan komersial pada masa akan datang.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif berkata, penggunaan sistem itu memerlukan perancangan holistik yang melibatkan kerjasama daripada komuniti melalui program pendedahan pengetahuan.

Jelasnya untuk peringkat seterusnya, sistem berkenaan memerlukan peruntukan tinggi supaya dapat digunakan secara menyeluruh bagi premis dan rumah persendirian. “Melalui sistem yang ada, air yang tidak bersih akan dirawat sebelum disalurkan keluar. “Pemulihan air ini memerlukan kos tinggi berbanding menggunakan tangki keselamatan.

“Secara keseluruhannya, usaha ini dapat menjamin kebersihan sungai di Kuching dan kini lebih bertambah baik,” katanya ketika merasmikan Seminar Pencemaran dan Pemuliharaan Sungai di sebuah hotel terkemuka, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Adun Kuala Rejang memberitahu, sungai yang mengalami pencemaran seperti Sungai Bintangor, Sungai Padungan, Sungai Bedil Tabuan, banyak usaha dibuat bagi memperbaiki kualiti air di sungaisungai itu.

“Ada program yang kita buat bersama-sama penduduk kampung di Sungai Tabuan, dan Sungai Bedil ini iaitu program pendidikan kesedaran supaya mereka tidak membuang sampah ke dalam sungai.

“Ini juga melalui usaha sama DBKU, MBKS dan Trienekens. “Kita menyediakan kemudahan lengkap untuk memastikan ada tempat bagi mereka membuang sampah setiap hari,” katanya.

Jelas Len Talif, walaupun masih ada sungai dikategorikan tercemar seperti Sungai Padungan dan Sungai Bintangor, secara keseluruhannya kualiti air di sungai-sungai itu semakin bertambah baik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru