KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diseru supaya memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih berkaliber dan berintegriti selain mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penyiasatan serta pencegahan rasuah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, lantikan bukannya sekadar tangkap muat kerana mencegah rasuah ini memerlukan komitmen yang tinggi demi masa depan negara yang lebih proaktif.

“Usah diulangi kesilapan lalu yang tidak memandang serius kepada inisiatif pencegahan rasuah ini. Lantiklah Ketua Pesuruhjaya yang mempunyai pengalaman serta kemampuan dalam bidang tersebut. Janganlah menjadikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai satu jawatan lantikan politik seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya dalam  satu kenyataan.

Latheefa Koya telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai orang nombor satu di dalam SPRM itu bukan sekadar wajar, malah amat wajar!,” kata Mohd Zaidy.

“Ini kerana, sejak dilantik ke jawatan itu tahun lalu, Latheefa Koya dilihat gagal mengurus persepsi rasuah di negara ini dengan baik. Sebaliknya, keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut terus merosot dan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kredebilitinya.

Jelasnya, kegagalan Latheefa Koya dalam memimpin SPRM ini dikatakan sebagai sebahagian daripada punca hilangnya kepercayaan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan PH.

Maka katanya lagi, atas sebab itulah apabila Kerajaan PH tumbang beberapa hari lepas dengan majoriti rakyat menyambut baik dan gembira kerana mereka sudah bosan dengan drama serta janji-janji yang tidak ditunaikan.

“Apatah lagi, sejak Mei 2018, SPRM dilihat seperti menjadi alat oleh Latheefa Koya yang lebih berminat mengenakan tindakan terpilih dengan niat serta agenda politik tertentu.”

Dalam hal ini juga, beliau turut menyeru kerajaan baharu agar mempertimbangkan untuk melantik pegawai daripada kalangan kakitangan awam khususnya dari agensi SPRM sendiri untuk diangkat ke jawatan tersebut.