Monday, December 5, 2022

Jangan biarkan anak tercicir dari sekolah

Secara Rawak

KUCHING: Tidak berkemampuan bukan alasan yang menghalang generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setiap kali keputusan peperiksaan awam, pelajar yang cemerlang mempunyai pelbagai latar belakang kehidupan.

Malah menurutnya, aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak dan program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kita perlu memberi lebih tumpuan kepada anak-anak untuk memastikan pelajaran mereka berada pada tahap terbaik.

“Program PIBG juga perlu sentiasa disokong untuk memastikan kita mengetahui mengenai perkembangan terkini di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan SK Telaga Air di sini, Sabtu.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, ibu bapa juga perlu sentiasa menggalakkan kehadiran anak ke sekolah.

“Kalau tidak sihat kita faham namun jangan terlalu memanjakan anak sehingga mereka pergi sekolah mengikut kehendak hati.

“Kalau kerapa tidak hadir ke sekolah mungkin akan memberi kesan kepada masa depan anak-anak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sekarang tiada alasan untuk pelajar tidak bersekolah kerana generasi muda mesti memiliki pelbagai ilmu untuk menghadapi kehidupan dunia yang semakin mencabar ketika ini dan masa depan.

“Kita perlu memberi tumpuan penuh kepada masalah keciciran pelajar di sekolah,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa bidang pendidikan di Sarawak.

“Sarawak bakal mencapai status negeri maju menjelang 2030 dan pada masa sama kita juga perlu bersedia agar tidak ketinggalan.

“Untuk memastikan kita tidak ketinggalan, persediaaan perlu dilakukan terutama dalam bidang pendidikan,” kata Dr Abdul Rahman.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru