LIMBANG: Keputusan Kerajaan Sarawak memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) bertujuan membantu golongan nelayan yang tidak ke laut disebabkan musim tengkujuh.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman bin Ismail berkata bantuan ini memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap golongan nelayan yang pendapatan mereka terjejas kerana tidak dapat menangkap ikan di laut.

“Kalau di Sarawak, musim tengkujuh bermula dari bulan November hingga Mac.

“Pada waktu itu, para nelayan terutama nelayan di laut dan pesisir pantai tidak dapat keluar menangkap ikan dan ianya menjejaskan pendapatan mereka pada tempoh itu.

“Dan, ini mengakibatkan mereka (nelayan) tidak mendapat pendapatan pada musim tersebut untuk menyara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) Kerajaan Negeri Sarawak Tahun 2020 anjuran Jabatan Pertanian Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang pada Khamis.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lepas Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah meluluskan peruntukkan untuk membantu nelayan musim tengkujuh sebanyak RM9.1 juta untuk sara hidup musim tengkuh.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota juga menjelaskan selain Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan, Kerajaan Sarawak juga meluluskan peruntukkan bagi membeli peralatan menangkap ikan untuk keperluan nelayan.

“Untuk keperluan menangkap ikan, Kerajaan Sarawak telah diperuntukkan sejumlah RM20 juta.

“Ini dikhususkan kepada para nelayan dan bukannya pekerja atau awak-awak.

“Kalau dikira, setiap nelayan mendapat RM5,000 untuk membeli peralatan menangkap ikan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Limbang Tambi bin Untong ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan yang diberikan kepada golongan nelayan.

“Pada musim tengkujuh, kami nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Jadi, dengan adanya bantuan RM300 sebulan ini, kami bagi pihak Persatuan Nelayan Kawasan Limbang mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian Kerajaan Sarawak memberi bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Nelayan Darat Batu Danau Samai anak Jamal ketika ditemui berkata beliau turut sependapat dengan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Limbang Tambi yang melahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas bantuan ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memperkenalkan bantuan ini khusus untuk nelayan.

“Bantuan RM300 sebulan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh 5 bulan itu,” ujarnya.