Sunday, May 22, 2022

Naik taraf Pusat Belia Miri

Secara Rawak

MIRI: Kementerian Belia dan Sukan akan mengkaji untuk menaik taraf Pusat Belia Miri agar dapat dimanfaatkan oleh golongan belia di bandar raya ini untuk melakukan aktiviti riadah.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya akan membawa perancangan tersebut kepada Kerajaan Sarawak untuk menyusun langkah sewajarnya bagi meningkatkan prasarana di bangunan berkenaan.

“Kita masih dalam proses melihat bagaimana tempat ini dapat dinaik taraf atau diatur supaya lebih sesuai untuk aktiviti golongan belia seperti riadah. “Saya melihat keadaan tempat ini… padang sedia ada amat sesuai dan lokasinya juga strategik,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media semasa lawatannya ke Pusat Belia Miri di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, proses untuk membaik pulih itu perlu kerana prasarana di bangunan tersebut kini dalam keadaan serba kekurangan dan usang. “Tempat ini memang tidak begitu baik dari segi prasarana. “Saya faham prasarana ini uzur kerana sudah lama.

Kerajaan Negeri menerima bangunan ini daripada Shell pada 1978,” ujarnya lagi. Oleh itu tambahnya, jika perancangan tersebut diterima, pelaksanaannya akan dilakukan dengan segera.

“Sekiranya dapat diatur, kita akan atur supaya ia menjadi pusat untuk belia di Miri beriadah dan berkumpul melakukan aktiviti sihat,” ujarnya lagi.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Hii Chang Kee.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru