Tuesday, September 27, 2022

Baru Bian selepas hilang jawatan?

Secara Rawak

BEKAS Menteri Kerja Raya Baru Bian membuat keputusan untuk terus kekal bersama-sama blok yang diterajui oleh mantan Perdana Menteri ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Pakatan Harapan.

Ini dibuktikan pada malam 29 Febuari lalu, Baru telah dilihat bersama-sama dengan beberapa ahli Parlimen yang lain menandatangani akuan bersumpah untuk terus menyokong Tun M sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Pekara ini agak mengejutkan kerana sebelum ini Baru dilihat agak dingin dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah sering menyokong pergerakan bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Jadi kini, setelah mengambil keputusan keluar dari PKR, adakah Baru masih diterima penyokong beliau sebagai Pengerusi PKR Sarawak? Kita sedia maklum Baru dan sepuluh ahli PKR yang lain telah disingkirkan dari PKR.

Mereka mendapat kritikan keras ahli PKR sendiri sehingga digelar sebagai pengkhianat kepada parti. Justeru itu, agak menarik untuk melihat keadaan Baru Bian selepas pergolakan politik yang melanda negara bermula 24 Febuari lalu dan berakhir pada 1 Mac, selepas Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Selepas ini, kita juga ingin tahu adakah penyokong kuat Baru sebelum ini masih mempercayai beliau kerana sikap beliau yang membuat pusingan U pada saat akhir kemelut politik yang paling dahsyat ini.

Jika sebelum ini, Baru merupakan harapan masyarakat Dayak untuk menjadi calon Ketua Menteri sekiranya PH berjaya menawan Sarawak untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12. Kini, matlamat tersebut kembali kabur kerana setakat ini Baru belum lagi mengumumkan parti mana yang akan disertainya selepas pulang ke pangkuan PH.

Adakah beliau memilih untuk kembali kepada PKR atau memilih platform baharu iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB). PSB mungkin platform terbaik untuk Baru kerana parti tersebut telah menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong blok yang dipimpin oleh Tun M.

Maknanya matlamat dan perjuangan mereka dengan Pakatan Harapan adalah sama walaupun PSB belum mengumumkan pendiriannya terhadap gabungan PH. Jika Baru mengambil keputusan untuk menubuhkan parti baharu, ia mungkin keputusan yang kurang sesuai kerana tempuh untuk Sarawak mengadakan PRN dilihat semakin dekat.

Kalau dilihat secara dasar, PRN mesti diadakan sebelum Jun 2021. Baru harus bijak memilih plaftform yang terbaik dan dipercayai mampu menarik kembali sokongan rakyat jika beliau masih lagi bercita-cita untuk meneruskan agenda yang mungkin sudah direncana sebelum ini. Bukan senang sesebuah parti baharu untuk meraih sokongan padu dan mendapatkan kepercayaan masyarakat akar umbi.

Kebiasaannya, masyarakat di akar umbi lebih percaya kepada parti-parti politik yang telah lama berkhidmat kepada mereka seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS). GPS merupakan cabaran besar sebagai lawan politik yang tidak dapat dielakkan Baru.

Kerana GPS merupakan sebuah parti yang amat kuat di setiap peringkat tidak kira dari segi kewangan, sokongan dan sebagainya.

Persoalannya, masihkah Baru umpama pahlawan Dayak kerana komitmen kerjanya sebelum ini yang sering mengutamakan hak Dayak terutama mereka yang dibelenggu kes-kes perbicaraan di mahkamah yang berkaitan dengan tanah adat Bumiputera (NCR). Untuk rekod, Baru merupakan Ahli Parlimen Selangau dan juga Adun Ba’kelalan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru