MIRI: Tiga lelaki warga tempatan disyaki suspek terlibat dalam kegiatan curi motosikal berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan ketiga-tiga suspek berjaya dijejaki hasil operasi serbuan pada dua tempat yang berlainan.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan masing-masing berumur 28 hingga 34 tahun.

“Serbuan pertama yang dilakukan sekitar jam 6.12 pagi oleh pasukan telah menemui dua suspek berusia 28 dan 34 tahun berada di sebuah rumah kayu tidak bernombor di jalan menuju ke tapak pusat pembuangan sampah Batu 1, Jalan Kuala Baram.

“Suspek ketiga, 28 tahun ditahan di sebuah rumah kayu di Kampung Piasau Utara hasil serbuan pada jam 7.15 pagi,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, hasil semakan rekod masa lampau mendapati kedua-dua suspek pertama yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau manakala tahanan kedua mempunyai empat kes jenayah lampau direkodkan.

Dedahnya, turut dirampas, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta sebatang kunci motosikal berlambang Honda hasil serbuan kedua.

Susulan itu, katanya, ketiga-tiga suspek kini telah ditahan reman dan di bawa ke balai polis Miri bagi siasatan lanjut dilakukan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.