Friday, August 12, 2022

Krisis politik, demokrasi dan hak Sarawak

Secara Rawak

Krisis politik  dalam penentuan Perdana Menteri telah selesai apabila Yang di-Pertuan Agong menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri negara ke-8.  Krisis selama seminggu ini menimbulkan pelbagai drama politik, politik dalam politik yang meresahkan rakyat.

Keputusan baginda  sesuai dengan Perkara 40(2) dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri dengan  melantik mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda ‘mungkin’ mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri. Di sinilah terletaknya kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Raja Berperlembagaan dan Demokrasi

Dalam dunia demokrasi dan mengamalkan dasar Raja Berpelembagaan, kebebasan dan hak berpolitik dan prinsip demokrasi turut diraikan.  Justeru, selepas pengumuman perdana menteri baru, krisis politik ini dijangka berterusan kerana Dr Mahathir mendakwa mempunyai sejumlah 113 ahli parlimen untuk kekal berkuasa. 

Politik Malaysia bergelora apabila terdapat segerombolan ahli parlimen PH sendiri mengkhianat mandat rakyat pada pilihan raya umum dengan  bekerjasama dengan pembangkang untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri dalam peralihan kuasa dalam perjanjian yang telah dipersetujui dalam Majlis Pakatan Harapan.

Namun sebaliknya berlaku, apabila Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana tidak mahu melibatkan keseluruhan parti Umno dalam membentuk kerajaan. Pada mulanya Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kerana Mahathir tidak mahu hadir dalam mesyuarat PH. Namun selepas itu, Mahathir bersetuju sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan. 

 

Di sinilah persaingan  berlaku di antara Mahathir dan Muhyiddin, iaitu teman politik yang rapat kepada musuh politik dalam sekelip mata.  Kedudukan Mahathir selaku pengerusi parti yang dilepaskan jawatan dan kemudian kembali dengan jawatan tersebut membolehkan Mahathir mempunyai kuasa menentukan hala tuju parti.

Namun bagi Muhyiddin apabila diumumkan peletakan jawatan oleh Mahathir sebagai pengerusi parti maka   jawatan tersebut akan kekal kosong sehingga pemilihan semula diadakan dan ini selaras Fasal 16.9 perlembagaan parti.  Dengan itu, Muhyiddin selaku presiden memangku jawatan tersebut. Walaupun sebelum ini, Ketua Penerangan BERSATU, Dr Mohd Radzi Md Jidin, menegaskan bahawa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Muhyiddin membuat ketetapan menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti.

Politik Belum Pulih

Apabila Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan  menyatakan kepada pihak media bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan lebih tinggi apabila mendapat 114 sokongan yang terdiri daripada Umno, PAS, Bersatu, MCA, dan MIC, dan  Gabungan Parti Sarawak (GPS). Terdapat juga kritikan bahawa yang akan berlaku kini ada percubaan membuat kerajaan melalui pintu belakang yang mengabaikan mandat rakyat. Mukhriz Mahathir pula menyatakan enam daripada ahli parlimen Bersatu tidak menandatangani. Ini menyebabkan keraguan terus timbul. Malam tadi, Pakatan Harapan memberikan butiran terdapat 113 sokongan diterima PH dan ini bermakna Perikatan Nasional mempunyai 103 sokongan.  Jika benar sebagaimana didakwa PH maka, krisis politik belum pulih sepenuhnya. 

Sudah pasti berlaku persaingan mendapat jawatan strategik dalam kerajaan selepas pembentukan kerajaan ini. Yang jelas mereka berasa tidak mendapat jawatan yang lebih daripada hasrat akan mengambil kira keluar dari Perikatan Nasional ini.

Contoh yang paling jelas ialah Baru Bian yang kembali ke Pakatan Harapan.  Hal ini diyakini bahawa Baru Bian dikatakan tidak tersenarai dalam cadangan kabinet baru.  Jawatan menteri kerja raya akan diambilalih oleh parti yang lebih besar, sedangkan Baru Bian sekadar kumpulan serpihan. Sudah tentu keutamaan ialah ketua serpihan ialah pelantikan AzminAli manakala selebihnya diberikan kepada wakil rakyat parti Bersatu yang sudah lama setia kepada Muhyiddin Yassin, Umno dan Pas. 

GPS Sarawak pada masa kini masih lagi mempertimbangkan sama ada menerima atau sebaliknya tawaran penyertaan kabinet kerana mahu menilai kesannya kepada pilihan raya Negeri Sarawak nanti. Sarawak sedaya upaya berkecuali terhadap krisis politik di Semenanjung Malaysia namun hak-hak Sarawak sentiasa diberikan keutamaan terhadap apa-apa sahaja keputusan oleh GPS.

Dengan kata lain, keputusan yang diambil GPS  adalah untuk kepentingan negara tanpa mengorbankan hak dan kepentingan negeri serta rakyat Sarawak. Seterusnya untuk memastikan keharmonian dan kestabilan politik negara.

Pada masa yang sama, isu royalti minyak, penerokaan gas minyak, hak Sarawak dalam perjanjian Malaysia 1963 dijangka akan terus menjadi isu utama dan Sarawak dijangka akan meneruksn tekanan  terhadap Putrajaya untuk mempercepatkan dan diberikan keadilan tanpa mengira pihak parti yang berkuasa atau pun mana-mana perdana menteri yang berkuasa!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru