Tuesday, January 25, 2022

Kepentingan rakyat bukan keutamaan

Secara Rawak

Hampir seminggu, kemelut yang melanda politik negara masih lagi belum selesai. Sejurus selepas kegagalan Langkah Sheraton yang dikatakan sebagai cubaan untuk membuat penjajaran baharu politik telah menimbulkan kemelut politik yang belum ada penghujungnya sehingga ke saat ini. Implikasi terbesar daripada kemelut ini dalam politik negara menyaksikan pemerintahan Malaysia Baharu yang diterajui Pakatan Harapan (PH) telah terkubur dengan keluarnya PPBM dan Team Azmin Ali dalam PKR daripada gabungan tersebut.

Kemelut ini yang mengakhiri pemerintahan PH ketara apabila Tun Mahathir telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke – 7 dan berundur sebagai Pengerusi PPBM. Ini adalah titik noktah kepada terkuburnya pemerintahan PH. Dalam kemelut yang masih berlegar, Tun Mahathir telah dilantik sebagai seorang Perdana Menteri sementara. Kini, kemelut ini menunggu keputusan daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong (YDPA) untuk mengumumkan apa-apa keputusan setelah membuat temubual secara bersemuka dengan 221 Ahli Parlimen.

Namun begitu, kenyataan terkini Perdana Menteri sementara negara mengatakan bahawa penyelesaian kepada kemelut ini akan di letakkan di bawah Dewan Rakyat yang akan membuat persidangan tergempar pada 2 Mac nanti. Sekiranya apa dikatakan oleh Perdana Menteri sementara ini berlaku, maka ‘permainan angka’ akan menentukan kerajaan baharu dalam menyelesaikan kemelut ini. Ironinya, pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri sementara ini ternyata telah melangkaui YDPA. Ini ternyata bertentangan dengan prosedur yang sepatutnya. Persoalannya, adakah Perdana Menteri sementara ini lebih berkuasa daripada YDPA?

Hakikat adalah, rakyat harus menunggu apa-apa pengumuman rasmi daripada YDPA dalam merungkai kemelut politik negara kini. Apa yang bakal diumumkan oleh pihak Istana sama-sama kita nantikan selepas persidangan Majlis Raja-Raja pada hari ini.

Dalam konteks demokrasi, kemelut politik yang melanda negara kini merupakan perkara ternyata mencemarkan amalan demokrasi seperti pilihan raya. Mandat yang telah diberikan oleh rakyat semasa PRU 14 lepas telah dinodai oleh para aktor politik yang rakus untuk mendapatkan kuasa. Dalam kemelut ini, suara serta kepentingan rakyat sudah bukan lagi perjuangan para aktor politik yang dipilih oleh rakyat ini. Hanya menggunakan nama ‘rakyat’ untuk menghalalkan perjuangan yang nampak untuk kepentingan parti dan individu.

Permasalahan rakyat tidak lagi menjadi keutamaan dalam kalangan para pemimpin yang rakus untuk mendapatkan kuasa. Kemelut yang melanda ini sudah pasti ditolak oleh rakyat yang telah memberi mandat serta kepercayaan kepada gabungan PH untuk menerajui negara pada PRU 14 lepas. Impak yang paling mengerikan adalah terhadap ekonomi negara. Kejatuhan pasaran saham nyata tidak memberi kebaikan kepada ekonomi negara. Ya, kestabilan politik memang mempengaruhi ekonomi.

Rakyat tersepit dalam kebobrokkan politik yang belum ada penghujung lagi. Harapan serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat punah. Apa yang diharapkan agar kemelut ini segera berakhir agar tumpuan kerajaan serta entiti politik balik semula kepada rakyat. Rakyat memilih wakil rakyat bukan untuk memberi tiket kepada mereka untuk berebut kuasa tetapi untuk menjaga hak rakyat serta membangunkan negara.

Dalam pada itu, sekiranya kemelut politik ini memang dibawa kepada Dewan Rakyat untuk mencari penyelesaian seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri sementara, maka ‘permainan angka’ ini yang akan menentukan pihak mana yang layak membentuk kerajaan. Ini jelas telah menidakkan hak rakyat untuk terlibat menentukan pihak mana yang harus diberi ‘mandat’ untuk membentuk kerajaan. Hanya wakil rakyat yang akan menentukan kerajaan baharu ini nanti yang nyata tidak demokratik. Apa yang pasti, kepentingan parti serta individu yang dominan dalam kalangan wakil rakyat yang bakal mempengaruhi pilihan mereka dalam ‘permainan angka’ ini. Tunggu dan lihat apa perkembangan kemelut politik negara pada hari ini dan seterusnya.

DICK LEMBANG … Pensyarah Program Politik dan Pemerintahan Unimas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru