KUCHING: “Kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komunit, Wanita, Keluarga itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, semalam dan menyatakan pihak mereka menyerahkan semua pengumuman kepada Abang Johari.

“Saya yakin Ketua Menteri adalah orang yang paling layak untuk menjawab segala persoalan berkaitan isu ini sebagai ketua di Sarawak. “Ini kerana, kami semua tertunggu-tunggu apa yang akan berlaku seterusnya dalam perkembangan politik.

“Kita semua perlu menyerahkan isu ini kepada kebijaksanaan Ketua Menteri kerana kita percaya beliau lebih tahu tentang sentimen rakyat Sarawak. “Beliau juga amat jelas tentang hala tuju negeri ini, ke mana beliau hendak bawa Sarawak sebagai Ketua Menteri dan kami semua sentiasa akan meyokong beliau,” jelasnya.

Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita PBB berkata, mereka perlu berada dalam suasana pilihan raya termasuk untuk PRN yang akan datang.

“Sebagai jentera penggerak peringkat wanita untuk PRN nanti, kini persediaan sedang dijalankan termasuk jerayawara di tiga kawasan Dun semalam (23 Februari) di Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut,” ujarnya.