KUALA LUMPUR: Semua rakyat termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan serta menunjukkan solidariti nasional dengan memberikan kerjasama menjaga keamanan dan keharmonian serta memberi kesetiaan penuh tanpa berbelah bagi kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa Beliau berkata demikian dalam ciapan Twitternya pagi ini berikutan kemelut politik yang masih melanda negara sejak Ahad lalu.

“Kita yakin pada kebijaksanaan pemerintahan Yang Di-Pertuan Agong. Daulat Tuanku,” katanya.

Katanya, Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad mencuba sedaya upaya selama 22 bulan tetapi Pakatan Harapan (PH) terbakar dari dalam.

“Ini kerana ramai anggotanya suka bermain api. Usaha meminta Tun memadamnya, bukan saja tidak adil buat Tun malah tiada upaya bagi Tun. Serahlah pada rakyat,” katanya.

“Beri Tun peluang cuci tangan dan berehat sebagai negarawan,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut berterima kasih kepada Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang memberikan penjelasan bahawa  Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu selepas kecewa apabila majoriti ahli MPT parti itu lebih mendengar cakap Setiausaha Politiknya selain akan menubuhkan kerajaan baharu dengan tidak akan menjemput kleptokrat dalam kerajaannya nanti.

“Kita pun kebingungan dengan apa yang berlaku… kita ‘dok’ retreat di Janda Baik, tiba-tiba Ahad di ‘panggil’… PMO-lah, Sheratonlah, Sri Kembanganlah… lepas tu drama berlaku. Skrip bertukar tiap hari… baru hari ini jelas. Terima kasih Datuk Kadir Jasin,” katanya dalam ciapan Twitternya yang lain.