PUSA: Pelan induk Kawasan Pembangunan Sri Aman (Sada) dijangka mampu disediakan sebelum penghujung tahun ini. Pengerusinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya ingin bergerak lebih pantas supaya apa-apa yang dihasratkan dapat direalisasikan secepatnya.

Menurutnya, semua jabatan dan agensi diarah menyediakan pangkalan data selepas perjumpaan bersama-sama jawatankuasa perunding minggu lalu. “Kita panggil semua jabatan dan agensi untuk menyediakan pangkalan data bagi mendapatkan maklumat mengenai kawasan.

“Kita hendak melakukannya secepat mungkin supaya pelan induk Sada mampu disediakan sebelum penghujung tahun ini. “Kita sudah ada pelan tersebut, kita menetapkan hala tuju selain memohon peruntukan untuk memulakan beberapa projek,” katanya selepas merasmikan Projek Rumah MRP-PPRMS di Kampung Semarang dan Spinang.

Jelasnya, Sada akan memberi fokus kepada pembangunan sektor pertanian dan pelancongan seperti perspektif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. “Banyak kertas cadangan berasaskan dua sektor itu. Pertama potensi Bahagian Sri Aman sebagai jelapang padi pertama di negeri ini.

“Tarikan pelancongan seperti benak, kawasan baru Gunung Lesong, Pulau Seduku dengan potensi sebagai santuari buaya dan sebagainya. “Justeru, kolaborasi antara agensi amat penting supaya perancangan yang ‘kacak’ dapat direalisasikan,” jelasnya lagi.

Beliau turut mengharapkan kerjasama baik daripada pengamal media tempatan untuk menyebarluaskan segala perancangan Sada.