KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, keadaan dalam negara kekal aman dan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat spekulasi tentang keadaan politik negara ketika ini sehingga menjejaskan keamanan.

Abdul Hamid berkata, beliau telah dititah mengadap Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memberikan taklimat tentang ketenteraman dan keselamatan awam ketika ini.

“Saya berada di Istana Negara sejak tengah hari tadi (semalam) bagi memberikan taklimat pada Tuanku tentang keadaan dalam negara. Pada keseluruhannya keadaan terus aman dan tenteram.

Tuanku telah menitahkan supaya PDRM berusaha memastikan ketenteraman serta keamanan dalam negara.

“Pihak saya setakat ini tidak terima sebarang ancaman. Tidak ada isu boleh membuatkan orang berkelahi, PDRM akan terus memantau dengan lebih dekat lagi supaya tidak tercetus apa-apa yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini baru-baru ini.