MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) menggesa orang awam tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, ini kerana Miri dijangka mengalami musim kemarau dan kering terpanjang bagi tahun ini, bermula Februari hingga April. Menurutnya, punca kebakaran di beberapa ladang dipercayai angkara pekebun kecil yang melakukan pembakaran terbuka untuk pertanian.

“Ini sebenarnya berpunca daripada pembakaran terbuka oleh pekebun di tepi jalan raya. Mereka melakukan pembakaran yang tidak terkawal. “Jadi, yang berlaku adalah kebakaran ini telah bermula di Kuala Baram dan masuk ke ladang milik syarikat Shin Yang hingga ke kawasan Naim yang agak luas,” katanya ketika ditemui selepas melawat Menara Tinjau Tudan di sini, semalam.

Tambahnya, pihak bomba akan memantau situasi kebakaran dari masa ke masa untuk memastikan keadaan terkawal. “Kebakaran berlaku dengan pantas dan asap yang terhasil juga tebal sehingga boleh menyebabkan jerebu di sini.

“Setakat ini, usaha mengawal kebakaran yang dilakukan adalah pemadaman api di permukaan,” jelasnya.

Beliau menambah, angin kencang dengan anggaran berkelajuan 20 knot purata menyebabkan api sukar dikawal, namun berkurangan berbanding hari sebelum ini.

Difahamkan, kejadian kebakaran tersebut menyebabkan berlakunya jerebu di kawasan Kuala Baram dan Senadin sejak Ahad lepas.

Susulan kejadian itu, dianggarkan 350 ekar kawasan terjejas dan setakat semalam sebanyak 10 ekar berjaya dipadamkan Sementara itu, semasa tinjauan semalam, Menteri Pengangkutan yang juga Adun Senadin Datuk Lee Kim Shin turut turun ke padang untuk melihat keadaan di lokasi kejadian dengan lebih jelas.