Kerajaan pintu belakang atau kerajaan perpaduan.

Itu bukan yang dimahukan rakyat.

Kerajaan perpaduan  biasanya menggabungkan wakil dari pelbagai parti termasuk parti pembangkang UMNO dan PAS.

Bagi Bersih dan kebanyakan rakyat ini bukanlah pilihan yang baik untuk negara ini.

Ingat, PH dipilih oleh rakyat dalam PRDU-14 pada 9 Mei 2018.

Mereka menang atas janji dan manifesto untuk melakukan perubahan.

Tetapi tidak sampai dua tahun ia sudah tumbang.

Puncanya mudah. Sebab, ada daripada kalangan pemimpinannya yang gila dan tamakkan kuasa. Mereka tak pedulikan rakyat. Mereka sebenarnya mengkhianati mandat yang diberi oleh rakyat pada PRU-14.

Menurut  Bersih semalam, jika sebuah kerajaan perpaduan dibentuk, maka tidak ada pembangkang untuk menjadi agen semak dan imbang. 

Semak dan imbang amat penting dalam demokrasi bagi mengelak salah guna kuasa dalam kerajaan. Kerajaan yang terlalu berkuasa cenderung untuk salah guna kuasa.

Kata pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya itu,rakyat juga tidak mempunyai sebarang pilihan untuk mewakili mereka.

“Risiko kerajaan perpaduan adalah, ia boleh menjadi kleptokratik apabila semua parti  bekerjasama untuk memperkayakan diri sendiri dengan (kesannya) ditanggung oleh rakyat.

“Senario ini tidak boleh dibiarkan untuk berlaku,” kata Bersih.

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara dilaporkan bercadang membentuk kerajaan bersama wakil pelbagai parti, termasuk UMNO dan PAS, tetapi kedua-duanya kini mahu pilihan raya diadakan.

Dr Mahathir telah membuat kejutan dengan mengumumkan peletakan jawatan. Tindakan Mahathir itu dilihat sebagai protes kepada langkah diambil Bersatu bersama-sama Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau  telah dipecat sebagai timbalan presiden PKR. 

Bersatu – yang mempunyai 26 kerusi parlimen – meninggalkan PH selepas 11 anggota parlimen PKR diketuai Azmin Ali mengumumkan mereka menjadi ahli parlimen bebas.

Ke mana hala tuju Azmin dan penyokong kuatnya Zuraida Kamaruddin selepas ini?

Bagi Bersih demokrasi adalah memberi peluang kepada parti politik berbeza ideologi untuk bertanding sesama sendiri bagi mendapat hak mentadbir serta melaksanakan dasar berdasarkan ideologi mereka.

Katanya, untuk berbuat demikian mereka berusaha keras untuk memenangi undi dengan mengetahui sekiranya gagal mentadbir, mereka akan ditolak pada pilihan raya.

Menurut Bersih lagi, jika Agong belum dapat menentukan siapa yang mempunyai majoriti di parlimen dan gabungan mana yang boleh membentuk kerajaan, maka pilihan selanjutnya ialah mengadakan pilihan raya umum.

Bagaimana dengan pendirian anda: Mahu kerajaan pintu belakang atau mahu mengundi sekali lagi?

Hakikatnya, penubuhan kerajaan perpaduan tidak akan dapat menyelesaikan situasi  krisis atau ketidaktentuan politik yang dihadapi negara ketika ini.

Sebaliknya,  kemelut politik semasa hanya dapat diselesaikan melalui pilihan raya umum.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan semalam berkata mereka kini berpendapat pilihan terbaik bagi mengatasi kemelut itu ialah dengan membubarkan parlimen.

“Maka isu yang panas berlaku baru-baru ini… isu back door (pintu belakang), front door (pintu depan)… bukan door (pintu), tapi rumah dah terbakar, tak ada pintu dah,” katanya seperti dipetik media.

Jalan terbaik adalah dengan mengembalikan mandat kepada rakyat. Rakyat ialah hakim yang sebenarnya.