KUCHING: Seramai 96 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNKG) 4.00 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 2019 berbanding hanya 92 calon pada 2019.

Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata, seramai 1,913 calon di Sarawak pula mendapat PNGK 3.00 ke atas, dan secara keseluruhannya calon Sarawak mencatatkan PNGK 2.66 berbanding pada 2018 iaitu 2.73.

Menurutnya, sebanyak 22 sekolah mencapai keputusan STPM 2019 yang sangat memberangsangkan iaitu PNGK melebihi 2.80.

“Ini termasuklah sekolah di Kuching, Sibu, Miri, Betong, Sarikei, Samarahan, Meradong, dan Saribas,” katanya.

Dr Azhar berkata, salah seorang calon berkeperluan khas iaitu Penglihatan (Buta) dari Sarawak telah memperoleh keputusan cemerlang iaitu Yak Fang Ling dari SMK Sungai Merah, Sibu.

“Pelajar ini telah dijemput menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2019 peringkat kebangsaan pada Majlis Peperiksaan Malaysia.

“Secara keseluruhannya di Sarawak, seramai 24 calon lulus penuh bagi lima mata pelajaran, manakala 3,741 calon lulus penuh untuk empat mata pelajaran, diikuti 945 calon lulus penuh bagi tiga mata pelajaran, termasuk 485 calon lulus penuh untuk dua mata pelajaran dan seramai 299 calon berjaya lulus penuh dalam satu mata pelajaran,” tambahnya.

Ujarnya lagi, tahun lalu seramai 5,837 calon telah mendaftar untuk menduduki Peperiksaan STPM di Sarawak berbanding 5,479 calon pada 2018.

“Dari segi pencapaian mata pelajaran pula menunjukkan dua mata pelajaran mencatatkan lulus seratus peratus iaitu subjek perakaunan dan Information And Communications Technology,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Peperiksaan STPM 2019 di Sarawak.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Sarawak atas sumbangan dan kerjasama padu dalam usaha menambah dan meningkatkan mutu prasarana sekolah diatas peningkatan kualiti pendidikan di Sarawak ini,” katanya.