KUALA LUMPUR: Kesemua 18 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, kata Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam satu kenyataan media, Fadillah berkata, 18 Ahli Parlimen GPS dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang Selasa.

“Ahli-Ahli Parlimen GPS telah dipanggil menghadap seorang demi seorang, antara dua ke tiga minit setiap seorang, serta turut diminta mengisi borang mengenai siapa yang mereka sokong untuk menerajui kepimpinan negara.

“Seperti yang telah dipersetujui sebulat suara oleh kepimpinan tertinggi GPS, kesemua 18 Ahli Parlimen GPS menyatakan sokongan kepada YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air apabila kesemua Ahli Parlimen kecuali Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula petang Selasa.

Sesi pertama melibatkan 90 ahli parlimen yang dipanggil menghadap sejak pukul 2.30 petang.

Selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, pemimpin gabungan pembangkang melibatkan UMNO, Pas, MCA, MIC dan PBRS mengesa agar parlimen dibubarkan dan menarik balik sokongan kepada Dr Mahathir yang diberikan sebelum ini.