SIBU: Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata, Program e-tunai sebanyak RM30 membantu rangsangkan ekonomi Malaysia secara khususnya setelah berlakunya wabak Covid-19 yang telah melanda dunia sekarang ini.

Jelasnya, tahun ini wabak Covid-19 melanda dunia setelah berlaku di China dan Malaysia turut terbabit setelah wabak itu merebak hampir ke seluruh dunia. “Apabila wabak Covid-19 ini, ia menyebabkan ekonomi dunia terjejas dan sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

“Jadi merangsang ekonomi Malaysia, kita ada pakej stimulasi dan program e-tunai rakyat… ini merupakan salah satu cara untuk merangsangkan kembali ekonomi kita. “Dan, rakyat boleh menebuskan RM30 bermula sekarang dan menggunakannya sebelum 14 Mac,” ujarnya sewaktu berucap dalam Program Taklimat E-Tunai bersama Boost di Rumah Catherine Tamoh, Sungai Aup, semalam.

Menurutnya, program e- tunai rakyat ini juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi menggalakkan rakyat menggunakan e-dompet.

“Jika semua rakyat menggunakan e-dompet, kerajaan boleh menyalurkan bantuan-bantuan kerajaan ke dalam e-dompet sahaja, contohnya pembayaran Bantuan Sara Hidup(BSH) mungkin dibayar melalui e-dompet sahaja,” jelas Oscar.