KUCHING: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIDP) akan berusaha mengurangkan implikasi daripada keputusan Kerajaan Persekutuan menamatkan kontrak Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Menterinya Tan Sri James Jemut Masing berkata, keputusan itu menyebabkan ramai rakyat Sarawak yang bekerja dengan LBU terpaksa diberhentikan.

“Rakyat Sarawak diberhentikan kerja di bawah LBU adalah kesan langsung daripada keputusan Kerajaan Persekutuan yang menamatkan kontrak dengan LBU. “Kerana penamatan itu, Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) melantik MIDP untuk mengambil alih tugas pemantauan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, tugas saya untuk mengurangkan kesan disebabkan penamatan yang dibuat oleh KKR ini,” katanya semalam. Masing memberi maklum balas terhadap kenyataan daripada jurucakap Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mengesa beliau membantu pekerja LBU yang diberhentikan.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Menteri itu mengingatkan jurucakap PSB terbabit supaya memahami peranan kementerian dan tugas seorang menteri. “Seorang menteri adalah ahli politik yang mengetuai kementerian dan bertanggungjawab membuat serta melaksanakan keputusan mengenai dasar yang terbatas kepada kementeriannya.

“Itulah sebabnya kerajaan mempunyai kementerian yang berbeza diketuai oleh menteri yang berbeza… saya telah dilantik sebagai Menteri MIDP dan bukannya Minister of Everything Sarawak,” tegasnya.