BAU: Polis berjaya memberkas seorang wanita tempatan yang dipercayai terlibat dalam penjualan loteri awam tanpa lesen dalam serbuan berhampiran Pusat Penjaja Hawker, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, ketika serbuan sekitar jam 5 petang, suspek sedang leka menjalankan kegiatan terbabit dan tidak menyedari kehadiran anggota Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau.

Suspek yang berusia 25 tahun itu jelasnya, mengaku bekerja sebagai ejen loteri awam tanpa lesen.

Menurutnya, suspek tidak pernah terlibat dalam sebarang rekod jenayah.

Kes diklasifikasikan di bawah 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit salah, suspek boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM20,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun.