BINTULU: Kerajaan Sarawak akan terus menjaga kebajikan semua institusi keagamaan di negeri ini dengan menyalurkan bantuan samada bagi tujuan membina atau membaikpulih rumah-rumah ibadat sedia ada.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata ini jelas terbukti dengan Kewujudan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Kerajaan Sarawak menerusi UNIFOR, katanya, menyalurkan bantuan kepada rumah ibadat yang memerlukan bantuan sekaligus meringankan beban serta memberikan keselesaan kepada setiap penganutnya menunaikan ibadah mengikut tuntutan agama masing-masing.

Berucap pada Sambutan Ulang Tahun Pentahbisan Kepaderian Ke-25 RT Reverend Bishop Richard Ng, malam semalam, beliau berkata kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat mementingkan institusi keagamaan sebagai platform pembentukan sahsiah setiap individu, mengukuhkan institusi kekeluargaan serta kemasyarakatan di negeri ini.

“Itulah keunikan kita di negeri ini, ujarnya sambil menegaskan keharmonian antara kaum harus dikekalkan di kalangan setiap anggota masyarakat berbilang kaum dan latar belakang kepercayaan bagi membolehkan mereka hidup dalam suasana aman dan damai tanpa sebarang masalah.

“Apa yang penting ialah setiap kita yang tinggal di negeri ini harus saling menghormati serta peka terhadap sensitiviti setiap kaum atau agama bagi menggelakkan berlakunya sebarang isu serta kekacauan yang boleh menggugat keharmonian kaum di negeri ini,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, Tiong mengumumkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada Gereja St. Anthony Bintulu yang disalurkan menerusi Projek Program Khas (PPK).

ADUN Tanjung Batu Chiew Chin Sing,ahli perniagaan terkemuka tempatan, Datuk Pui Kian Onn, Datuk Pau Chiong Ung dan Datuk Jun Ngau Wan antara yang hadir.