BINTULU: Rumah panjang baharu yang dibina harus menekankan ciri-ciri keseragaman khususnya di bahagian ruai dan koridor rumah panjang.

Rumah panjang yang dibina sama dan seragam di bahagian ruai menjadikan rumah tersebut kelihatan lebih kemas, tersusun dan menarik, demikian kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang – Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie anak Tayai.

Ia juga, katanya, bagi memperlihatkan setiap penduduk rumah panjang terbabit saling bekerjasama dan sehati antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ngentak Rumah Panjang Baharu JKKK Tanjung Tutong, Sungai Bawang, Selangau, kelmarin.

ADUN Kakus itu turut memberitahu Kerajaan Sarawak memperuntukkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan peruntukkan sebanyak RM1 juta bagi kegunaan membaik pulih dan bina baharu rumah panjang.

Manakala bagi rumah panjang yang terlibat dalam musibah kebakaran pula, kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Abang juga akan memperuntukkan bantuan sehingga RM70,000.00 sepintu,ujarnya.

Malah, tambahnya lagi, kerajaan Sarawak, baru – baru ini turut memperuntukkan pinjaman berjumlah RM50 juta untuk membaikpulih rumah dan juga pembinaan rumah panjang baharu.

Sementara itu, ADUN 59 Tamin, Ir. Christhoper Gira anak Sambang, berkata pelbagai Insentif dan bantuan telah disalurkan oleh kerajaan Sarawak termasuk peruntukkan untuk penyukatan Tanah NCR, Bantuan Bayi Baharu Lahir (EFS), Insentif Ibu Bersalin, RTP, MRP dan Projek Pertanian.

Beliau turut menyeru setiap anak Sarawak harus bersatu hati dan bekerjasama mempertahankan hak Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam perkara berasingan, beliau memberitahu bagi kawasan Selangau, pelbagai Projek Rakyat telah siap dan sedang dilaksanakan antaranya adalah Projek Jalan Sungai Bawang/Kemena, Projek Jalan Passai Siong, Mini Stadium, Waterfront Selangau, dan Pembinaan Pejabat Daerah Selangau.

Pada program tersebut, Gira dan John Sikie, masing – masing mengumumkan geran sebanyak RM25,000.00kepada JKKK Tanjung Tutong.

John Sikie turut mengumumkan Pemberian geran sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita rumah panjang terbabit.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Edwin Banta,Pegawai Daerah Selangau, Inting Nyami hadir sama.