LAWAS: Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM 11 juta dalam tiga bulan bagi memberi latihan kepada guru-guru setelah kerajaan pusat memperkenalkan dasar baharu iaitu penggunaan bahasa inggeris bagi subjek Sains dan Matematik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengannya memberitahu bahawa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mahu pengajaran dan pembelajaran bagi subjek berkenaan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

“Saya beritahu dengan beliau, baiklah Sarawak akan melaksanakan dasar tersebut. Jadi kita memberikan latihan kepada guru-guru kita dengan bahan-bahan mengajar.

“Dalam masa tiga bulan RM 11 juta. Mereka yang memperkenalkan dasar namun tidak mempunyai duit. Mahu atau tidak, kita terpaksa melatih guru. Namun hari ini nak kaji semula lagi, fip flop. Nak kaji lagi samada mahu laksanakan ataupun tidak.” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon Lawas pagi Sabtu.

Bagaimanapun katanya rakyat Sarawak sebenarnya tidak mempunyai masalah mengenai pelaksanaan itu kerana rakyat Sarawak sangat fasih dalam berbahasa Malaysia dan Inggeris.

“Tapi bagi kita tidak mengapa, kerana kita orang Sarawak sangat fasih dalam berbahasa Malaysia dan Inggeris.” tambahnya.