MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau yakin masyarakat Kayan akan dapat mencapai kejayaan lebih besar jika terus bersatu dan menyokong antara satu sama lain.

Sehubungan itu beliau berkata, ia merupakan cabaran bagi masyarakat Kayan di samping mengekalkan warisan dan budaya tradisional.

Pada masa sama beliau menyeru masyarakat Kayan dan etnik minoriti lain di negeri Sarawak agar berfikiran terbuka serta bergaul dengan masyarakat lain.

Berkata kepada media selepas Mesyuarat Agung Persatuan Kayan Sarawak 2020 di sebuah hotel ternama di sini, Dennis berharap persatuan itu berusaha agar kekal relevan dan seiring dengan perkembangan semasa.

Dennis yang menekankan tentang kepentingan pendidikan kepada masyarakat Kayan turut berharap ia (pendidikan) akan diberikan keutamaan dalam agenda Persatuan Kayan Sarawak.

“Pendidikan adalah kunci utama untuk berjaya dalam kehidupan,” katanya dan berharap setiap cawangan persatuan itu menganjurkan aktiviti pendidikan seperti seminar atau ceramah kepada pelajar Kayan.

Dalam mesyuarat itu, Dennis telah diumumkan sebagai Pengerusi Persatuan Kayan Sarawak yang baharu bagi sesi 2020-2022.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Michael Mujah.