KUALA PENYU: Luluh hati seorang anak, apabila menjumpai mayat bapanya dalam keadaan tergantung di sebatang pokok getah dalam satu kejadian di Kampung Kulung-Kulung, Rimbaan, Kuala Penyu, Sabah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, dalam penemuan jam 5.15 petang Jumaat itu, mangsa 44 tahun, ditemui oleh salah seorang anaknya sebelum bergegas memaklumkan kepada keluarga.

Beliau berkata, mangsa terdahulu dikatakan keluar dari rumah mereka untuk menghantar lima orang anak ke sekolah sebelum dilaporkan tidak muncul-muncul semula seperti dilapor Astro Awani.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa difahamkan keluar rumah, pada 7 pagi untuk menghantar lima anaknya ke sekolah tetapi mangsa tidak datang menjemput anaknya yang keluar sekolah jam 11.30 pagi.

“Anak mangsa kemudiannya bertindak berjalan kaki ke pejabat bapanya di LIGS Pekan Kuala Penyu, tetapi mangsa dikatakan gagal dikesan sehingga jam 5 petang.

“Dia (anak) mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah mereka oleh rakan sekolah mangsa dan sebaik tiba di rumah, mangsa masih belum pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya pada Sabtu.

Mengulas lanjut menurut Astro Awani, panik dengan situasi itu, isteri mangsa kemudian mengarahkan tiga anaknya mencari di sekitar kebun berhampiran rumah.

“Tidak berapa lama dalam usaha mencari itu, salah seorang anak mereka terlihat mayat bapanya sedang tergantung di batang pokok getah.

“Anak mangsa cuba memotong tali untuk menyelamatkan bapanya, tetapi mangsa sudah meninggal dunia sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.

Tambah beliau lagi, punca dan motif kejadian masih disiasat polis, selain mayat mangsa sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.