SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) memberikan perkhidmatan terbaik dalam usaha agensi itu memastikan kesejahteraan hidup penduduk setempat.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, MDS menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka mengenal penat lelah.

Katanya walaupun berdepan pelbagai cabaran berikutan pembangunan pesat Sarikei, MDS tetap memberikan perkhidmatan perbandaran yang terbaik.

“Malah projek pembangunan rakyat dilaksanakan dengan baik dan berkesan khasnya RTP. Tahun lalu, agensi ini berjaya melaksanakan sebanyak 46 projek RTP demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat,” katanya ketika berucap pada malam Apresiasi MDS bersama Komuniti Daerah Sarikei, semalam.

Dalam pada itu, Huang berazam untuk memberi perhatian wajar terhadap setiap pemasalahan rakyat di kawasannya.

Pendekatan itu katanya, sejajar dengan perjuangan GPS yang mengutamakan keperluan rakyat termasuk mereka di pedalaman dan luar bandar.

Katanya, keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat mengambilkira kepentingan dan manfaatnya untuk semua pihak.

“Pelaksanaan projek berimpak tinggi di Sarawak termasuk Sarikei bukti jelas keprihatinan kerajaan Sarawak bagi memastikan kehidupan rakyat sentiasa terjamin.

“Kita cukup bertuah kerana Sarawak mempunyai seorang Ketua Menteri yang sentiasa mengambilberat masalah rakyat.

“Malah, dana yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak banyak membantu rakyat dan pembangunan kawasan ini.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar terus menyokong Abang Jo dan GPS demi menjaga kepentingan kita bersama seperti slogan Utamakan Sarawak,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr. Penguang Manggil, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datu Antonio Kahti Galis dan Setiausaha MDS, Sait Enggang.