LAWAS: Projek pembinaan Hospital Lawas perlu dilaksanakan Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat terutamanya di bahagian Lawas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, sebelum ini sudah ada peruntukan disediakan untuk laksanakan projek ini, tetapi pertukaran kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyebabkan projek ini belum dapat dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Tegas Awang Tengah, Menteri Kerja Raya Baru Bian sepatutnya menggunakan kedudukan beliau sebagai salah seorang menteri persekutuan yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan pusat untuk melaksanakan projek hospital Lawas.

“Sekarang ini beliau menjadi Menteri Kerja Raya mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi kepimpinan Kerajaan Pusat, bahkan boleh terus membawa perkara ini kepada Perdana Menteri, kalau beliau benar-benar sayang dan peduli dengan kepentingan rakyat Lawas,” jelas beliau.

Tambahnya yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, perkara ini tidak berkaitan dengan kepentingan politik, tetapi demi kepentingan rakyat Lawas dan sampai sekarang projek ini belum dapat dilaksanakan.

“Tetapi beliau (Baru Bian) tidak berbuat demikian, kuasa ada tetapi tidak digunakan dan kalau benar-benar mahu bantu kita boleh, sebab peruntukan sudah ada,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Zon Lawas, Sabtu.