KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut selepas ditetak adik lelakinya sendiri di sebuah rumah di Jalan Indah 10, Jinjang Utara, di sini, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy, pihaknya menerima aduan pada jam 7 malam daripada dua lelaki, seorang daripadanya merupakan anak mangsa menurut Astro Awani.

“Pegawai penyiasat dan pihak ambulans telah bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan, namun penolong pegawai perubatan mengesahkan mangsa yang berusia lewat 30-an telah maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,“ katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Shanmugamoorthy berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku di ruang tamu rumah pada pukul 6.30 petang ketika mangsa pulang dari kerja.

“Suspek yang berusia awal 30-an telah mengamuk dan menetak kepala mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah parang dan kapak.

“Hasil siasatan mendedahkan punca suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan pemilikan rumah yang diduduki oleh mangsa bersama keluarganya,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihak polis telah menahan suspek dan merampas senjata yang digunakan di dalam kejadian.

Permohonan reman akan dibuat hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.