Saturday, December 3, 2022

Warga emas cedera tertembak rakan sendiri

Secara Rawak

PADAWAN: Seorang lelaki warga emas bertarung nyawa selepas tertembak oleh rakannya sendiri ketika berburu di hutan kawasan Banjaran Bengoh dekat sini sekitar jam 6.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, mangsa 67, dari Kampung Taba Sait mengalami kecederaan di bahagian perut dan paha.

Menurutnya, mangsa bersama empat lagi rakannya keluar memburu dari jam 7.30 malam Rabu lalu dan mereka berpecah.

“Apabila sekitar jam 6.30 pagi, seorang daripada rakannya melepaskan tembakan apabila mendengar bunyi yang disangkakan haiwan dan terkejut apabila mendengar suara orang mengerang kesakitan dari arah tembakan dilepaskan.

“Dia segera memeriksa dan terkejut apabila melihat mangsa terbaring dan mengalami kesan tembakan di perut dan paha kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Lim berkata mangsa kemudian dibawa oleh rakan-rakannya keluar dari dalam hutan untuk mendapatkan bantuan.

Katanya mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulan sekitar jam 10 pagi dan doktor mengesahkan mangsa sedar tetapi tidak stabil dan akan menjalani pembedahan segera.

Lim rakan mangsa yang tertembaknya berusia 60 tahun yang juga sekampung dengannya kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat, dia mengaku senjata api adalah buatan sendiri diwarisi dari datuknya yang telah meninggal dunia.

“Suspek yang juga tidak mempunyai lesen memiliki dan menggunakan senjata api akan direman esok,” katanya sambil menambah siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru