Tuesday, August 16, 2022

Sarawak sedia buat kejutan Sukma 2020

Secara Rawak

SARAWAK bakal membuat kejutan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor pada Julai nanti, walaupun persiapan latihan sedikit terjejas oleh Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, meskipun beberapa acara yang dirancang untuk latihan di China telah dibatalkan namun persatuan-persatuan sukan telah bekerja keras untuk menyediakan atlet yang akan mewakili Sarawak.

“Latihan Sukma berjalan baik, cuma saya berharap sukan-sukan yang akan membuat pendedahan atlet di luar negeri supaya sentiasa berjaga-jaga kerana kita tidak mahu atlet menghadapi masalah dengan virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Penghargaan Kementerian Belia dan Sukan yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, Selasa lepas.

Menurut Karim, kementeriannya mensasarkan agar kontinjen Sarawak melakar kecemerlangan dalam Sukma kali ini, kerana ia adalah sukan yang sangat penting untuk mendedahkan atlet-atlet muda ke persada kebangsaan.

“Oleh itu, saya mahu semua persatuan sukan bersedia sepenuhnya untuk sukan ini kerana kita sudah tidak ada banyak masa lagi, cuma tinggal 145 hari sahaja,” katanya.

Temasya dwitahunan, Sukma 2020 di Johor akan berlangsung di 39 venue sukan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi dengan 31 jenis sukan akan dipertandingkan serta mempertaruhkan 434 pingat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru