Friday, August 19, 2022

Sarawak mahu bina pusat sukan paling berprestasi di Malaysia

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina pusat sukan berprestasi tinggi di sini, bagi memperkasakan infrastruktur sukan, dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri kuasa sukan di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kemudahan sukan seperti Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil itu akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melabur dalam membina kemudahan ini. “Oleh itu, saya bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai keperluan mewujudkan pusat sukan berprestasi tinggi untuk para atlet kita.

Katanya, dengan adanya kemudahan ini, atlet boleh memberi tumpuan dalam latihan mereka supaya bersedia dari sudut fizikal dan mental. “Ia juga membolehkan kita bersedia berhadapan cabaran sukan besar seperti Sukan Malaysia (Sukma) dan juga di peringkat antarabangsa.

Pandelela Rinong

“Pandelela Rinong contohnya, dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan terjunnya dengan adanya kemudahan ini, malah membolehkannya mencapai prestasi cemerlang,” katanya pada Malam Penghargaan Kementerian Belia dan Sukan pada Selasa.

Terdahulu, Abdul Karim berkata, Sarawak amat memerlukan pusat sukan berprestasi tinggi sekiranya mahu menjadi sebuah negeri kuasa sukan. Katanya walaupun ada Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di Kuala Lumpur tetapi agak sukar untuk Sarawak menghantar atlet ke sana.

“Kami memahami bahawa untuk mencapai kecemerlangan, kita perlu mempunyai pusat. “Sebab itu kami pergi ke New Zealand dan melihat bagaimana negara ini boleh menghasilkan 16 pingat emas dalam Olimpik.

“Untuk itu, adalah penting untuk kita mempunyai pusat sendiri supaya dapat melahirkan atlet yang sangat baik pada masa depan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru