KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemukan maut dengan kesan kelar di tubuh di tempat letak kenderaan Jalan Merbah, Pusat Bandar Puchong, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, mayat mangsa yang dianggarkan berusia 50-an itu dijumpai oleh anggota peronda yang sedang bertugas di kawasan itu seperti dilapor oleh Astro Awani.

“Semakan lanjut mendapati, terdapat kereta jenis Toyota Camry dipercayai milik mangsa, berada di lokasi, dan hasil pemeriksaan, mangsa tinggal di Puchong Jaya.

“Terdapat kesan kelar pada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Menurutnya, siasatan diteruskan dengan bantuan forensik Polis Selangor, Unit Anjing Pengesan (K9) dan semakan kamera litar tertutup di kawasan sekitar tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata, bedah siasat akan dijalankan di Hospital Serdang hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Mangsa mati di tempat kejadian. Terdapat kesan kelar yang mana kita percaya ini adalah (akibat) dibunuh.

“Siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.