BINTANGOR: Perlaksanaan projek pembinaan dua jalan di Semareng dan Mupong dekat sini, bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan terbabit.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, projek jalan perhubungan ke Semareng bakal dinikmati oleh penduduk empat buah rumah panjang.

Kerja naiktaraf jalan ban 1.2 kilometer (km) yang bernilai RM500,000 itu katanya, dijangka bermula Jun depan.

“Manakala pembinaan jalan ke penempatan Mupong pula memberi manfaat kepada penduduk sembilan rumah panjang. Pembinaan jalan sepanjang 5 km ini melibatkan kos sebanyak RM21.93 juta dan dijangka siap pada Mac 2021,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga ADUN N.42 Semop berkata, kedua-dua penempatan yang sebelum ini hanya boleh dihubungi melalui sungai itu mempunyai banyak keistimewan khususnya dalam aspek pertanian.

Pembinaan jalan itu katanya, bukan sahaja mengakhiri penantian penduduk sejak sekian lama tetapi juga melonjak potensi ekonomi penduduk yang sebahagian besarnya pekebun dan menangkap udang serta ketam.

“Saya berharap jalan raya ini nanti akan memudahkan mereka menghantar hasil tani dan tangkapan sungai mereka ke pasaran dengan lebih cepat. Secara tidak langsung akan menaikkan sosio ekonomi mereka,” ujarnya.

Beliau memberi jaminan akan terus berusaha untuk mendapat peruntukan bagi melaksanakan projek sistem hubungan jalan yang baik untuk masyarakat kawasan pendalaman di DUN N 42 Semop.

Malah tegasnya, komitmen berterusan beliau bagi memastikan keperluan prasarana asas seperti bekalan air paip dan elektrik dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan berkenaan.

“Pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) mendapat peruntukan yang besar dan sedang dalam proses mengantikan paip sebagai usaha mengatasi masalah bekalan air di Pulau Bruit.

“Permohonan juga sedang dibuat untuk melaksanakan projek SARES atau SAWAS di beberapa penempatan dlm kawasan N42 Semop yang belum mendapat kemudahan asas tersebut,” katanya.