KUCHING: Bekas Pesuruhjaya Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu menggantikan Datuk Ramli Din yang akan bertugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 2 Mac depan.

Pelantikan dilakukan dalam Majlis Serah Terima Tugas yang disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Pahlawan Mazlan Mansor di ibu pejabat Kontinjen Polis Sarawak di sini.

Aidi dalam ucapannya menganggap pelantikan tersebut sebagai pengalaman baharu dalam PDRM.

“Walaupun terdapat perbezaan besar saiz negeri yang ditugaskan sebelum ini, namun misi dan visi Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pasukan keselamatan terbaik negara akan tetap dikekalkan.

“Oleh itu, saya berharap semua kakitangan termasuk pegawai dan anggota dapat bersama-sama menyumbangkan prestasi secara profesional dan berkualiti dalam memastikan keselamatan komuniti dijaga,” jelasnya.

Ramli dalam kenyataannya pula percaya Aidi mempunyai cara tersendiri untuk mengetuai Kontinjen Polis Sarawak bagi merealisasikan visi dan misi untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti dijaga.

Beliau turut menegaskan kepada semua pegawai dan anggota PDRM agar terus memberikan perkhidmatan dengan ikhlas, amanah dan progresif tanpa mengira Pesuruhjaya Polis Sarawak akan datang.

“Sebagai pegawai polis, perlu diingatkan agar sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dan sentiasa mematuhi arahan yang diberikan oleh pegawai atasan.

“Di samping itu memperbaiki usaha serta bekerjasama untuk memastikan Sarawak sentiasa bebas daripada jenayah” ujarnya..

Ramli memulakan tugasnya sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 18 November 2019 hingga 18 Februari lalu, sekali gus menjadikan perkhidmatan beliau genap tiga bulan sebelum berpindah ke Bukit Aman.