LIMBANG: Pengenalan Sistem Tagang yang diperkenalkan ini merupakan Sistem Tagal yang terdapat di Sabah yang bertujuan untuk memastikan sumber ikan, udang dan hidupan lain di sungai-sungai tidak pupus.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Hj Abdul Rahman Ismail berkata ketika ini hanya 3 kawasan Tagang ketam iaitu di Kampung Bako Kuching, di Jerijih, Mukah dan di Kampung Nauran ini.

“Sistem Tagang ini adalah kolaborasi di antara Jabatan Pertanian dengan masyarakat setempat.

“Sistem ini adalah kepunyaan masyarakat setempat iaitu melalui Jawatankuasa Sistem Tagang yang ditubuhkan bertanggungjawab memantau dan menjaganya.

“Melalui Jawatankuasa Sistem Tagang Kampung Nauran bertanggungjawab memastikan kawasan Tagang sepanjang 4.3 km ini tidak dicereboh oleh aktiviti yang mencurigakan atau penangkapan menggunakan kaedah terlarang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perlepasan Benih Ketam dan Udang Galah di Projek Sistem Tagang Kampung Nauran, Limbang anjuran Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Limbang di Perkarangan Surau Kampung Nauran pada Khamis.

Pada majlis ini, sebanyak 3,100 ekor benih ketam dan 5,000 ekor benih udang galah telah dilepaskan ke Tagang Kampung Nauran sebagai langkah untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran ketam dan udang galah di masa akan datang.

Turut diserahkan mock cek berjumlah RM40,000 kepada Pengerusi Sistem Tagang Kampung Nauran yang juga Ketua Kampung Nauran Hj Osman bin Hj Salleh.

Datuk Dr Hj Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, Sistem Tagang Kampung Nauran telah didaftarkan pada tahun 2019 dan merupakan projek perintis untuk Tagang ketam di Wilayah Utara.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), sebanyak RM9,141,000 telah diperuntukkan untuk melaksanakan 127 sistem tagang di Sarawak.

“Bahagian Limbang telah menerima RM607,350 melibatkan 17 projek sistem tagang iaitu 4 di Daerah Limbang dan 13 di Daerah Lawas,” tambahnya.

Mengikut statistik hasil tangkapan ketam di kawasan Sungai Nauran ini dianggarkan sebanyak 4 tan sebulan melibatkan 60 penangkap ketam sepenuh masa dengan kadar harga ketam untuk pasaran tempatan dalam lingkungan RM17 hingga RM28 sekilogram.