BINTULU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus merupakan kawasan yang luas meliputi lebih 400 buah rumah panjang.

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie anak Tayai, disebabkan jumlahnya yang terlalu banyak maka bantuan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) diberikan secara berperingkat.

“Ini merupakan projek Fasa 1 bagi tahun 2019 dengan penyerahan bantuan dalam bentuk bahan binaan seperti atap spendek, batu bata, dan simen.

“Projek ini diagihkan secara berperingkat dengan memberikan keutamaan kepada rumah-rumah panjang yang lebih memerlukan untuk diperbaiki segera ataupun bagi rumah rumah panjang yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan projek PPRMS di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus pada Jumaat.

Pada majlis itu, seramai 159 pintu dari kalangan 12 buah rumah panjang dari kawasan DUN Kakus menerima projek Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM450,100.

Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berharap penduduk dapat melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan rumah panjang atau rumah kampung secara gotong-royong.

“Ini kerana hanya melalui gotong-royong kerja-kerja penambahbaikan rumah panjang atau rumah kampung dapat dilaksanakan dengan lancar dan cepat.

Bantuan seperti projek PPRMS membuktikan kerajaan di bawah pimpanan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Johari bin Tun Openg adalah kerajaan yang menepati janji demi menjaga kesejahteraan rakyat.