MEMANDU dalam keadaan mabuk bukanlah asing di negara kita. Semua sedia maklum bahawa memandu dalam keadaan mabuk memberi banyak kesan buruk kepada pengguna jalan raya yang lain.

Ia bukan sahaja meningkatkan jumlah kematian dan kemalangan di jalan raya, malah ia turut ‘meragut’ jiwa orang yang ditinggalkan. Terdapat anak-anak menderita kerana kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya.

Malah ada yang menjalani hidup sebatang kara ekoran kemalangan yang menimpa keluarga mereka. Mereka hilang arah dan hilang sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik terutamanya bagi anak-anak yang masih kecil dan belajar.

Oleh itu, pelbagai kesan buruk gara-gara masalah tersebut. Ahli keluarga mangsa akan terjejas. Perkara tersebut bukan sahaja menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran, malah turut mendorong mereka untuk terus dibelenggu kemiskinan.

Yang pasti, masih terdapat segelintir masyarakat yang mengambil sikap tidak peduli terhadap hal tersebut. Oleh itu, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk lebih-lebih lagi jika ia mengorbankan nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Di samping itu, pada era teknologi sekarang ini kewujudan aplikasi-aplikasi e-hailing seperti Grab, Mycar, Maxim, Jomride boleh membantu.

Didik masyarakat tentang pemanduan berhemah Ia adalah alternatif yang sesuai untuk pemandu mabuk yang ingin meneruskan perjalanan.

Misalnya seseorang itu berada dalam keadaan mabuk, mereka boleh menggunakan khidmat e-hailing untuk mengelakkan kejadian tidak diingini. Yang pasti, perubahan sikap pengguna jalan raya amatlah penting untuk membendung masalah tersebut.

Sebagai pengguna jalan raya, kita mesti mempunyai sikap tanggungjawab, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang lain. Malah mereka juga harus sedar, ingatkan orang tersayang ketika berada di jalan raya… jangan hanya mementingkan diri sendiri.

Selain itu didikan berterusan dalam kalangan pengguna jalan raya amatlah penting untuk memberi kesedaran kepada mereka. Malah budaya memandu secara berhemah juga perlu diterapkan dalam kalangan murid atau pelajar.

Di peringkat tadika misalnya, anak-anak kita perlu mendapatkan pendidikan yang sewajarnya tentang pemanduan berhemah.

Ini penting untuk kita melahirkan generasi masa depan yang sentiasa mempunyai rasa tanggungjawab ketika berada di jalan raya.

Selain itu, seperti yang dijelaskan tadi, hukuman berat amatlah penting bagi memberi pengajaran kepada pesalah, di samping sebagai kesedaran pengguna jalan raya yang lain.